Faizul mengungguli persembahan menerusi
lagu Hanyut dan Sepasang Sayap pada konsert akhir AF 2013 di Stadium
Negara, malam tadi. - Foto Nashairi Mohd Nawi
Kuala Lumpur: Pemuda berasal dari Tawau, Sabah, Mohd Faizul Sany, 28, muncul juara program realiti, Akademi Fantasia (AF) 2013 pada konsert akhir di Stadium Negara di sini, malam tadi.
Mohd Faizul yang menumpaskan lima peserta akhir AF 2013, memenangi hadiah wang tunai RM100,000 serta kontrak rakaman bernilai RM100,000.
Menyampaikan dua lagu, Hanyut nyanyian Faizal Tahir dan single baru, Sepasang Sayap, Mohd Faizul mengungguli persembahan yang diadili berdasarkan 100 peratus undian SMS penonton.
Duo Azhael iaitu Mohd Azhar Osman, 25, dan Hal Husaini Razmi, 25, menduduki tempat kedua, manakala Nadia Amira Othman, 20, mendapat tempat ketiga.
Azhael mempersembahkan dua lagu, Penglipur Lara nyanyian Hazama dan Hentian Terakhir, manakala Amira mendendangkan lagu berjudul Terlalu Istimewa nyanyian Adibah Nor dan Sesaat Untukku.
RM30,000
Azhael menerima wang tunai RM30,000 dan Nadia pula membawa pulang RM20,000.
AF 2013 menampilkan Edry Abdul Halim, Roslan Aziz dan Sharifah Amani sebagai pengkritik tetap serta Zizan Razak sebagai pengacara.
Selama 10 minggu program itu berlangsung, bintang AF 2013 dibimbing oleh tiga penyanyi popular sebagai Inspirer iaitu Datuk Siti Nurhaliza, Faizal Tahir dan Melly Goeslow.
No comments:
Post a Comment