Gosip sentiasa menyelubungi kehidupan semua manusia tidak kira
mereka yang tergolong dalam kehidupan glamor mahupun mereka tidak
terkenal.
Bezanya, gosip bagi mereka yang glamor membabitkan seluruh pelusuk
dunia, malah ramai akan bercerita mengenainya manakala gosip dalam
kalangan mereka kurang popular pula cuma membabitkan mereka yang berkait
dengan individu itu.
Gosip - cerita yang kita dengar daripada orang lain dan malangnya,
kita tidak tahu kebenaran sesuatu cerita itu. Dalam konteks komunikasi,
gosip sememangnya perkara tidak sepatutnya dilakukan malah ditegah dalam
ajaran Islam.
Walaupun begitu, bukan semua jenis gosip itu salah. Terdapat dua
jenis gosip yang boleh kita perkatakan. Pertama, gosip mengenai sesuatu
kejadian atau kita dengar yang boleh dijadikan teladan kepada kita
manakala gosip kedua pula membabitkan gosip yang hanya memburukkan atau
mengaibkan seseorang.
Gosip dilarang dan menunjukkan sikap buruk seseorang tentunya yang
suka menyampaikan cerita dengan memburukkan orang lain. Ia satu sikap
sepatutnya dibuang agar tidak menjejaskan imej keperibadian kita.
Ingatlah, jika kita tidak suka dimalukan atau diaibkan oleh orang lain
maka kita elak daripada melakukan perkara seperti itu.
Tidak mustahil, apa yang menimpa orang lain itu boleh juga menimpa
diri kita, bak istilah dalam bahasa Inggeris, ‘what goes around comes
around’.
Gosip disifatkan boleh diperbualkan membabitkan gosip yang boleh
kita jadikan satu teladan dan seharusnya tanpa mengaibkan mana-mana
pihak misalnya sesuatu kejadian yang kita hanya kita dengari tiada
cerita kukuh mengenainya kerana kepelbagaian spekulasi.